fbpx
Liu Ting ketika dibawa ke Mahkamah Kajang hari ini.

Wanita tular mengamuk di Kajang diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang wanita tular yang mengamuk menggunakan pisau di bandar Kajang, untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta.

Hakim Normastura Ayub dan Majistret Fatin Dayana Jalil memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh Liu Ting, 24, yang merupakan warga China itu untuk pemeriksaan kesihatan mental sebelum prosiding selanjutnya diteruskan.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 19 September ini bagi sebutan semula kes termasuk laporan psikiatri tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan dan Siti Nur Alia, manakala tertuduh diwakili peguam T.K Song.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas lima pertuduhan iaitu dengan niat cuba membunuh dua indvidu berumur 19, 21 tahun dan menyebabkan kecederaan kepada seorang individu berusia 35 tahun yang mana sekiranya tertuduh menyebabkan kematian maka dia akan bersalah bagi kesalahan membunuh, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara boleh sampai 10 tahun serta denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, maka pesalah itu hendaklah dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Tertuduh juga didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang individu berusia 60 tahun dengan menetak lengan kanan mangsa menggunakan sebilah pisau iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematiandan menikam perut seorang individu berusia 27 tahun menggunakan pisau yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa tiga lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga lagi individu masing-masing berusia 53, 21 dan 49 tahun dengan menggunakan sebilah pisau yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Besar, Persimpangan Metropoint, dan sebuah premis di sini pukul 11.39 pagi dan 12 tengahari pada 13 Ogos lalu.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan beberapa video tular di media sosial memaparkan seorang wanita mengamuk serta mengugut orang awam menggunakan pisau dipercayai berlaku di sekitar Kajang.

Dalam satu video dimuat naik di Thread, kelihatan wanita berambut panjang yang memakai baju berwarna putih itu mengejar orang awam di atas jalan raya.

Lebih membimbangkan, seorang penunggang motosikal yang sedang melalui kawasan tersebut turut ditikam oleh wanita tersebut yang menyerang secara rawak.

Cubaan orang awam untuk menenangkan atau menahan wanita itu juga gagal apabila dia bertindak secara agresif dengan menghayunkan pisaunya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI