fbpx
Persiaran Mokhtar Dahari.

Gred semula bahu jalan elak tragedi berulang di Persiaran Mokhtar Dahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemegang konsesi bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri di Negeri Selangor, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) akan membuat kerja mengred semula bahu jalan di enam spot di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam.

Tindakan itu diambil susulan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di lokasi berkenaan, semalam.

Ia berikutan terdapat dakwaan bahawa kemalangan itu berlaku disebabkan laluan berkenaan tidak diselenggara dengan baik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa pembersihan sementara oleh pihak kosensi di tapak atau kawasan kejadian telah pun dilakukan.

“Ada enam spot kerja tanah atau projek perumahan sedang berjalan di sepanjang laluan. Kenderaan berat keluar masuk menyebabkan jalan berpasir dan kotor.

“KKR dimaklumkan, Infrasel akan membuat kerja mengred semula bahu jalan sepanjang kawasan kerja tersebut bagi membuka laluan sebelah kiri yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Nasional 2025 (NEC 2025), di Bangsar South, di sini hari ini.

Mengenai dakwaan yang mengatakan tragedi itu berlaku disebabkan jalan berkenaan dipenuhi pasir serta tanah dipercayai berpunca daripada aktiviti kuari berhampiran, beliau berkata siasatan lanjut akan dilakukan.

Terdahulu media melaporkan, Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi mendakwa, bendasing seperti pasir, batu dan tanah di sepanjang laluan di tepi hutan dipercayai hasil korekan aktiviti kuari di kiri kanan kawasan tersebut.

Beliau turut mendakwa masalah berkenaan berlarutan sejak sekian lama, namun semakin serius kebelakangan ini berikutan ketiadaan pengawasan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN