PELALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keputusan menuduh suspek-suspek yang terlibat dalam kes buli membabitkan arwah Zara Qairina adalah berdasarkan bukti dan fakta siasatan.
AGC dalam kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan pada 19 Ogos lalu oleh peguam lantikan ibu arwah, Noraida Lamat, yang memohon agar pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan ditangguhkan dan sebaliknya mencadangkan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 507D(2).
Menurutnya, setelah penelitian dibuat terhadap kertas siasatan, pertuduhan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dipilih kerana ia merujuk kepada perbuatan buli semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan punca kematian mangsa.
“Kenyataan peguam pada perenggan empat kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif dan tidak disokong dengan fakta yang tepat.
“Oleh itu, AGC sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan dibuat berdasarkan bukti dan fakta hasil siasatan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina. – KOSMO! ONLINE