GLASGOW – Penyerang veteran England, Jamie Vardy akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan karier ke Scotland dengan menyertai kelab gergasi, Celtic secara percuma dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Vardy kini bergelar ejen bebas selepas kontraknya bersama Leicester City berakhir pada musim lalu sehingga dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Amerika Syarikat atau Itali.
Namun, sumber rapat kepada penyerang berusia 38 tahun itu mendedahkan Celtic menjadi pilihan utama kerana mahu kembali menjalinkan kerjasama dengan jurulatih, Brendan Rogers.
Kata sumber tersebut, Celtic juga memberikan tawaran lebih menarik selama dua musim sekali gus membolehkan Vardy untuk terus bergelar pemain profesional sehingga usia mencecah 40 tahun.
“Vardy masih lagi percaya dengan kualiti yang ada padanya. Dia sentiasa profesional dan masih lagi berada pada tahap yang terbaik.
“Kini, dia tidak sabar untuk meterai perjanjian dengan Celtic kerana mahu kembali bekerjasama dengan Rogers. Kita harap segalanya dapat diselesaikan sebelum jendela perpindahan ditutup nanti,” katanya.
Vardy dianggap sebagai salah seorang penyerang prolifik England sejak 10 tahun lalu apabila berjaya meledak 145 gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama The Foxes sebelum ini. – AGENSI