PADANG BESAR – Peniaga makanan di Perlis menegaskan isu harga tomyam kelapa yang tular di media sosial tidak boleh dipukul rata kerana hidangan itu berbeza mengikut premis, saiz hidangan dan bahan digunakan.
Seorang peniaga kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 36, menjelaskan bahawa kos bahan mentah termasuk kelapa, ayam serta udang galah semakin meningkat, selain kadar sewa premis yang tidak sama di kawasan tumpuan pelancong itu.
“Kalau dekat sini, sewa gerai saya sahaja cecah RM1,500 sebulan. Tomyam kelapa ayam di sini dijual pada harga RM25, manakala tomyam kelapa campur RM30. Satu hidangan boleh makan tiga orang, jadi sebenarnya tidak mahal kalau dibanding dengan kuantiti.
“Kalau tidak kualiti memuaskan, pelanggan akan terus buat aduan dan pergi kedai lain. Sebab tu kami kena jaga rasa, sebab orang ramai ada banyak pilihan, bukan satu kedai saja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dia turut meminta rakan-rakan peniaga lain agar tidak menekan pengguna dengan harga terlalu tinggi kerana dikhuatiri menimbulkan imej tidak bagus kepada Padang Besar.
Baru-baru ini tular di Facebook mengenai keluhan beberapa pelanggan yang mengatakan harga tomyam kelapa berharga RM35 dengan isi ayam halus dan udang tidak sepadan dengan nilai dibayar selain rasanya tawar.
Tinjauan di empat kompleks beli-belah iaitu Arked Niaga, Padang Waremart, Plaza Niaga Padang Besar dan Padang Besar Street mendapati harga tomyam kelapa itu bermula pada harga RM25 hingga RM40 satu unit. – KOSMO! ONLINE