LONDON – Sekumpulan nelayan berjaya menangkap ikan tuna sirip biru gergasi bersaiz 2.43 meter panjang di sebuah perairan di England sebelum dipotong kepada 1,000 bahagian, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Jonathan Simper, Wayne Adams dan Harry membuat tangkapan luar biasa itu di Dartmouth, daerah Devon.
Menurut Simper, ikan tuna seberat 201 kilogram itu ditemukan di dalam pukat tunda yang dipasang pada bot mereka.
“Kami cuba melepaskan semula ikan itu ke dalam laut tetapi gagal kerana ia sudah mati,” kata Simper.
Ikan tersebut segera dibawa ke pelabuhan Brixham sebelum dijual kepada pemborong dengan harga £1,800 (RM10,300).
“Kami sangat gembira dengan jualan itu, ia adalah bonus yang tidak dijangka. Kejadian ini berlaku secara kebetulan, ia adalah pengalaman sekali seumur hidup,” tambah Simper. – AGENSI