GERIK – Seekor anak gajah jantan berusia empat tahun antara tiga ekor gajah liar yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Tanjung Rimbun, Bandariang di sini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, anak gajah dan ibunya serta seekor gajah jantan dewasa dianggar berusia 18 tahun itu ditangkap dalam operasi pada 8 Ogos lalu.
Katanya, tangkapan terhadap ketiga-tiga mamalia itu dibuat susulan aduan kerosakan tanaman oleh penduduk.
“Kumpulan mamalia ini dikesan masuk ke kebun dan merosakkan tanaman pisang dan ubi selain menimbulkan ketakutan kepada penoreh getah untuk ke kebun.
“Kawalan dan pemantauan dilakukan di lokasi sekitar sehinggalah ketiga-tiga gajah ini berjaya ditangkap minggu lalu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi translokasi gajah betina dan anaknya serta gajah jantan itu dibantu dua gajah denak iaitu Suria dan Indah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Terengganu.
Katanya, operasi bermula pukul 8 pagi itu
melibatkan 27 kakitangan Perhilitan Perak, Terengganu dan Johor.
“Ketiga-tiga gajah liar itu dipercayai tersesat dari hutan simpan berhampiran akan dilepaskan ke habitat bersesuaian,” katanya.- KOSMO! ONLINE














