JOHOR BAHRU – Siti Suhana Misdi, 39, mendakwa individu yang membuli anak lelakinya sehingga mengalami gegaran di bahagian otak tidak diambil tindakan kerana pelaku masih kanak-kanak.
Menurut wanita itu, anak lelakinya, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, merupakan pesakit kanser hidung dan telah dipukul murid darjah enam pada 21 Februari lalu.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila pelaku tidak berpuas hati apabila cintanya terhadap kakak mangsa ditolak.
“Anak lelaki saya bukan sahaja dipukul dan ditendang, tetapi turut dihentak di bahagian kepala bahagian selain dipaksa berbogel.
“Akibat kejadian itu, dia kerap mengadu sakit kepala dan badannya lemah. Apabila pemeriksaan hospital dibuat, doktor mengesahkan dia mengalami gegaran di bahagian otak.
“Dia dirawat di sebuah hospital swasta di bandar raya ini sejak 12 Mac hingga 26 Mac lalu,” katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti, di sini pada 26 Mac lalu.
Tambah ibu kepada enam orang anak itu lagi, dia bagaimanapun kecewa apabila dimaklumkan siasatan berhubung kes sedemikian tidak sesuai untuk diteruskan, sebaliknya hanya perjumpaan bersama ahli keluarga pelaku sahaja dibuat.
“Saya kurang puas hati kerana kejadian ini memberi kesan mendalam buat saya sekeluarga. Anak saya sehingga kini tidak mampu menumpukan perhatian kepada pelajaran mahupun terbabit dalam sukan.
“Doktor beritahu tempoh untuk sembuh mungkin memakan masa sehingga tiga tahun selain perlu turut bergantung kepada ubat-ubatan. Doktor juga maklumkan anak saya berisiko sawan sekiranya terjatuh atau pengsan,” ujarnya lanjut.
Siti Suhana turut memberitahu, sehingga kini anaknya masih menjadi mangsa buli murid-murid lain di sekolah dengan kejadian terkini berlaku adalah pada 7 Ogos lalu.
“Saya juga telah melaporkan kejadian itu agar tindakan segera dapat diambil sekaligus mengelakkan kejadian sama terus berulang pada masa depan,” katanya lanjut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah maklum akan perkara tersebut.
“Murid terlibat dan ahli keluarganya telah dikunjungi untuk tindakan lanjut sewajarnya diambil,” katanya ketika dihubungi pemberita. – KOSMO! ONLINE