PETALING JAYA – Kelab Brunei, DPMM FC memperoleh kemenangan pertama di Liga Malaysia (Liga M) selepas membenam Kuching City 3-2 pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Keputusan itu beri harapan buat DPMM FC untuk cuba mara lebih jauh dan bekal satu gol kali ini cukup berharga sebelum kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada 14 September ini di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.
Terdahulu, tuan rumah memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya membuka jaringan seawal minit ke-5 menerusi Azwan Ali Rahman namun dua minit sebelum babak pertama berakhir menyaksikan import pelawat, Ronald Ngah Wanja kembali menyamakan kedudukkan.
Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung, giliran The Cats berada di depan dan kali ini menyaksikan James Okwuosa merobek gawang tuan rumah yang dikawal penjaga gol dari Macedonia, Kristijan Naumovski.
Bagaimanapun keceriaan Kuching City hanya bertahan seminit selepas Miguel Oliveira meledak gol kedua sebelum Jordan Murray menambah gol ketiga DPMM FC pada minit ke-79.
Aksi bertambah menarik apabila Kuching City dianugerahkan sepakan penalti di hujung permainan sebaliknya sepakan Gabriel Nistelrooy berjaya dihalang oleh Naumovski. – KOSMO! ONLINE