KOTA BHARU – Lebih 1,000 orang berhimpun sebagai tanda solidariti dalam menuntut pembelaan ke atas kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman dan Zara Qairina Mahathir di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Perhimpunan aman yang turut dihadiri ibu bapa Wan Ahmad Faris iaitu Ruhani Hussin, 70, dan suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, itu bermula pada kira-kira pukul 8.40 malam dengan didahului solat istak berjemaah diikuti solat hajat dan bacaan doa buat kedua-dua arwah.
Pihak keluarga arwah mengenakan pakaian putih sebagai lambang keadilan dan keamanan, manakala rata-rata peserta mengenakan ikatan kepala warna sama sambil membawa sepanduk bertulis ‘Justice For Faris & Zara’ sebagai tanda bersoladiriti.
Wan Abdul Rahman ketika ditemui berkata, himpunan itu dianjurkan untuk menuntut keadilan terhadap kes Allahyarham selain memastikan siasatan dijalankan secara telus oleh pihak berkuasa.
“Himpunan ini bukan bertujuan politik atau mahu menjatuhkan atau menghina mana-mana pihak. Fokus kami hanya keadilan untuk arwah dan semua pihak lain yang menuntut hak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Wan Ahmad Faris merupakan pelajar tahfiz di sebuah sekolah agama di Kok Lanas, yang ditemui mati dalam keadaan tergantung di tandas asrama sekolah berkenaan pada Disember 2013. – KOSMO! ONLINE