PERKENALAN singkat antara Hanif (bukan nama sebenar) bersama seorang gadis akhirnya membawa ke jenjang pelamin.
Hanif mengenali isterinya melalui media sosial sebelum mereka menjalinkan hubungan cinta.
“Saya dan isteri bercinta dalam tempoh empat bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Perbezaan umur kami berdua agak jauh. Saya 16 tahun lebih tua berbanding isteri dan dia boleh dikategorikan sebagai Generasi Z (Gen Z). Ketika berkahwin dengan saya, dia baru berusia 20 tahun,” katanya.
Hanif yang kini berusia awal 40-an mengakui, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan isterinya bagi mengubati rasa kecewa disebabkan hubungan cinta sebelum ini.
Dia kecewa setelah bekas tunangnya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka. Ketika berhadapan dengan kekecewaan itu, dia berkenalan dengan isterinya di media sosial.
“Dia (isteri) memberikan harapan kepada saya untuk kembali percaya kepada wanita pada saat itu.
“Meskipun usianya pada ketika itu masih muda, namun dia kelihatan seperti seorang wanita matang.
“Ini membuatkan saya jatuh hati kepadanya, sebelum kami mengambil keputusan untuk berkahwin,” ujar Hanif.
Namun begitu, setelah berkahwin, segala jangkaan Hanif mengenai kemanisan hidup berumah tangga ternyata meleset sama sekali.
Setelah lima bulan berkahwin, dia mendapati bahawa isterinya tidak tahu menguruskan rumah tangga.
“Saya dapat melihat sisi sebenar isteri setelah kami berkahwin.
“Isteri saya jarang masak, jika lapar dia akan minta saya memesan makanan menggunakan perkhidmatan p-hailing.
“Hidupnya di rumah sering dihabiskan dengan bermain telefon pintar, dia langsung tidak kisah jika rumah berselerak,” katanya.
Sebaliknya, Hanif yang mengambil tanggungjawab untuk mengemas rumah selepas pulang dari tempat kerja.
Setelah setahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki.
Pada ketika itu, Hanif menjangkakan dengan kehadiran cahaya mata, ia akan mengubah sikap isterinya menjadi lebih rajin mengurus rumah tangga.
Namun jangkaan tersebut tidak menjadi kenyataan, sebaliknya Hanif yang perlu menguruskan anaknya itu.
“Isteri saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Jadi, dia selalu beri alasan tidak mahu buat kerja rumah kerana penat bekerja.
“Pada saya, kerjanya tidak sesukar mana kerana dia hanya bekerja sebagai kerani.
“Namun, setiap kali pulang dari tempat kerja, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar. Jadi, makan malam kami sekeluarga, saya yang akan uruskan,” ulasnya.
Bukan itu sahaja, Hanif memberitahu, isterinya juga gemar pergi makan di kedai-kedai makan ‘viral’.
Ketika di kedai, isterinya akan memesan pelbagai jenis makanan untuk bergambar dan merakam video, sebelum dimuat naik ke dalam media sosial.
“Saya tidak kisah untuk membawanya keluar makan sekali-sekala.
“Namun, kalau hampir setiap minggu dia mahu pergi ke kedai viral semata-mata ingin menunjuk kepada rakan-rakannya di media sosial, saya rasa itu bukan perkara yang baik.
“Harga makanan kini bukan murah, kadangkala saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk memenuhi kehendaknya,” ulasnya.
Selain itu, isterinya juga mempunyai hobi pergi bercuti sama ada di dalam dan luar negara bersama rakan-rakannya.
Kebanyakan rakan isteri Hanif masih belum berkahwin, jadi mereka mempunyai banyak masa untuk pergi bercuti.
“Isteri saya sentiasa akan turut serta setiap kali rakan-rakannya ingin pergi bercuti.
“Dia akan tinggalkan saya dengan anak bersendirian di rumah, manakala dia bergembira bersama rakan-rakannya.
“Jika sekali-sekala saya tidak kisah, ini boleh dikatakan hampir setiap minggu dia keluar bersama rakan-rakannya sama ada pergi bercuti atau menghabiskan masa di pusat beli-belah,” kata Hanif.
Selain itu, isteri Hanif juga seorang yang keras kepala dan langsung tidak mahu mendengar nasihat.
Malah, isteri Hanif akan meninggikan suara apabila ditegur.
Lama-kelamaan, Hanif merasakan perkahwinan yang dibina bersama isterinya sudah tiada kemanisan.
“Sebagai seorang suami, saya mahu isteri saya faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang suri rumah tangga dan ibu.
“Mungkin sebab dia masih muda dan tidak puas lagi menikmati hidup, jadi dia tidak tahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
“Apa yang boleh saya cakap, isteri saya tidak tahu menguruskan rumah tangga langsung,” terangnya.
Setelah berfikir panjang, Hanif mengambil keputusan untuk berpisah dengan isterinya.
Hal ini kerana dia tidak boleh hidup dengan seorang isteri yang tidak tahu untuk menguruskan rumah tangga dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu. Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang. Kini, Hanif lebih bahagia hidup berdua bersama anaknya.















