JOHOR BAHRU – Individu perseorangan yang menjalankan servis pengangkutan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah bernombor pendaftaran Singapura seperti e-hailing secara haram dikesan beroperasi secara berleluasa di sekitar Johor Bahru.
Meskipun pelbagai operasi telah dijalankan pihak berkuasa Malaysia, namun kegiatan pengusaha kenderaan haram itu agak licik dan sukar dikesan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, mereka menjalankan perkhidmatan itu di lokasi tumpuan seperti di pintu masuk Malaysia-Singapura di kawasan menghantar dan mengambil penumpang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Pemandu-pemandu itu turut dikesan mengambil dan menghantar penumpang yang menempah servis mereka di pintu-pintu masuk hotel sekitar Johor Bahru dan juga lokasi tumpuan pelancong terutama di kawasan taman tema air di Iskandar Puteri.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu Teksi, Kereta Sewa serta Teksi Mewah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Mohamad Nor Mohamad Syed mendedahkan, pengusaha MPV Singapura yang menyediakan servis haram tersebut turut dikesan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai.
“Kegiatan ini kita panggil teksi mewah haram yang menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sebenarnya sudah wujud sekian lama sudah, dah berpuluh-puluh tahun.
“Kami sudah lali dan macam malas nak ambil kisah, kami bukan sekali dua buat aduan kepada pihak berwajib, malah berpuluh-puluh kali laporan, tindakan pihak berkuasa memang ada tidak dinafikan tetapi masa itulah, bila dah lama dia ada balik.
“Mereka seperti kebal dan kadang-kadang berlagak samseng, siap ajak bergaduh dengan ahli persatuan, pemandu teksi atau e-hailing berlesen,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, antara helah yang digunakan pengusaha haram ini ialah mereka akan memaklumkan penumpang yang dibawa adalah ahli keluarga, saudara-mara serta rakan apabila ada pihak datang menegur serta cuba menyelidik kegiatan mereka.
Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani mengakui wujud persaingan tidak sihat dalam industri perkhidmatan pengangkutan.
Jelasnya, kewujudan prebet sapu haram MPV mewah Singapura ini menjejaskan periuk nasi terutamanya pemandu e-hailing dan teksi berdaftar di sekitar Johor Bahru.
“Mereka beroperasi secara haram dan tidak sah dan memang sah-sahlah tiada lesen PSV (Public Service Vehicle). Kalau pemandu e-hailing atau teksi atau mana-mana perkhidmatan pengangkutan, kita orang tempatan wajib ada lesen ini selain lesen memandu biasa.
“Pemandu yang nak buat lesen PSV perlu mengikuti kursus khas dan lulus ujian selain mendaftar kenderaan mereka untuk perkhidmatan e-hailing, teksi dan sebagainya.
“Kenderaan yang digunakan untuk khidmat pengangkutan juga perlu menjalani pemeriksaan tertentu seperti di Puspakom jika kenderaan berusia lebih dari tiga tahun,” katanya.
Ujarnya, kegiatan itu dikhuatiri mengundang risiko kepada keselamatan penumpang.
“Sebagai contoh, jika berlaku sebarang insiden atau nahas jalan raya, mereka pastinya akan lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab. Kebiasaannya mereka beroperasi tanpa perlindungan insurans terhadap penumpang dan jika berlaku insiden tidak diingini, penumpang perlu menanggung kos perubatan dari poket sendiri.
“Pemandu juga dipercayai tidak terlatih atau kemungkinan tidak mempunyai lesen memandu sah. Kenderaan juga tidak diperiksa secara berkala mungkin mengalami masalah teknikal yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.
Pada 17 Oktober 2024, Kosmo! mendedahkan modus operandi digunakan pengusaha MPV Singapura yang mencari pelanggan menerusi media sosial seperti Facebook selain WhatsApp, Telegram, WeChat dan lain-lain lagi.
Tinjauan di media sosial mendapati mereka menawarkan upah mengikut jarak destinasi sama ada bermula dari Singapura ke Johor Bahru, Desaru, Kota Tinggi, Melaka, Kuala Lumpur atau ke Genting Higlands, Pahang dengan tambang antara SGD$200 (RM651) sehala sehingga SGD$700 (RM2,302).














