fbpx
SEORANG lelaki warga Myanmar dikesan memandu sebuah Alphard tanpa lesen dan membawa enam PATI senegara dalam Op Pewa di Melaka, pagi tadi.

Lelaki Myanmar pandu Alphard tanpa lesen, siap bawa 6 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki warga Myanmar dikesan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard tanpa lesen dengan membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Pemandu Warga Asing (Op Pewa) pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, kesemua mereka yang berusia 25 hingga 30 tahun itu ditahan pukul 10 pagi di susur masuk Plaza Tol Jasin dekat sini.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan, kita mendapati pemandu MPV tidak mempunyai lesen memandu dan membawa enam penumpang warga Myanmar.

“Kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati MPV tersebut didaftarkan atas nama warga Malaysia.

“Masalah komunikasi menghalang kami mendapatkan maklumat terperinci mengenai tujuan perjalanan mereka. Sepanjang operasi ini, 56 kenderaan diperiksa dengan 38 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan. 141 notis dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua 38 kenderaan iaitu 36 motosikal dan dua kereta disita kerana tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI