BENTONG – Tindakan seorang samseng jalanan yang bukan sahaja memandu secara berbahaya dan melanggar kereta mangsa tetapi memukul seorang lelaki membawa padah apabila ditahan polis.
Dalam rakaman video berdurasi satu minit 23 saat yang tular menyaksikan seorang pemandu kereta memandu dengan bahaya sebelum berhenti di tepi jalan dan memukul seorang pemandu kereta lain.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis telah menahan suspek yang berusia 24 tahun di Ibu Pejabat polis Daerah Bentong (IPD) dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 9 pagi, 3 Ogos lalu semasa mangsa yang merupakan lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Subang Jaya, Selangor.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek memandu keretanya secara berbahaya serta membrek secara mengejut dan menghalang laluan mangsa dan setelah mangsa berjaya memotong kereta yang dipandu suspek sebelum suspek mengejar dan melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa.
“Mangsa telah memberhentikan kenderaannya di Kilometer 10.3 jalan turun Genting Highlands dan tiba-tiba suspek menyerang mangsa dengan menumbuk di bahagian muka serta mencederakan leher mangsa,”katanya di sini hari ini,
Tambahnya susulan itu rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian telah meleraikan pergaduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE