KUALA LUMPUR – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedia ada diberi pilihan untuk memilih pelaksanaan bayaran pencen bulanan secara sukarela.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, hak pengeluaran penuh ahli KWSP sedia ada, malah tidak akan terkesan dengan cadangan strukur baharu itu.
Jelasnya, bayaran pencen secara bulanan hanya akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan mekanisme baharu tersebut.
“Cadangan ini bertujuan mengukuhkan jaminan pendapatan hari tua dan menyokong pengurusan kewangan yang lebih mampan,” katanya sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai rasional KWSP memperkenalkan bayaran pencen kepada pencarum.
Hui Ying berkata, struktur baharu itu akan diwujudkan apabila ahli mencapai usia persaraan minimum yang melibatkan dua komponen utama.
Menurut beliau, komponen pertama adalah simpanan fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.
Kata beliau, komponen kedua adalah simpanan pendapatan yang diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.
Ujar beliau, mekanisme itu bertujuan memastikan simpanan ahli bertahan lebih lama bagi menampung perbelanjaan harian. – KOSMO! ONLINE