GEORGE TOWN – Pemuda yang tular selepas dipercayai menceroboh rumah milik seorang pempengaruh media sosial di Batu Maung di sini semalam direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Penahanan reman ke atas suspek berusia 21 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun kerana kesalahan menceroboh.
Semalam, media melaporkan tindakan licik seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah memakan diri apabila dia ditahan penghuninya selepas berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal dipercayai selipar.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah itu melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.
”Namun, apabila menyedari kehadiran pemiliknya, suspek cuba lari namun berpatah balik dipercayai untuk mengambil barang yang tertinggal. Tindakan itu menyebabkan dia dapat diberkas,” katanya malam tadi.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine (Benzo) selain mempunyai rekod dadah. – KOSMO! ONLINE