BARU-BARU ini, seniman jalanan terkenal Thailand, Alex Face atau nama sebenarnya Patcharapon Tangruen telah memulakan sebuah ekspedisi seni yang bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi juga menjadi lambang kebebasan kreatifnya.
Alex berbasikal sejauh 1,300 kilometer dari Bangkok ke Pulau Pinang selama 14 hari, sambil melukis di setiap persinggahan sepanjang laluan tersebut.
Projek itu merupakan sebahagian daripada siri ‘Faded Landscapes’ yang menampilkan lukisan-lukisan landskap yang dihasilkan jejaka berusia 43 tahun itu.

Sudah lama mengimpikan projek sedemikian, Faded Landscapes sebelum ini pernah dilakukan pada 2024, yang mana perjalanan pertama Alex sambil melukis adalah dari Bangkok ke Khao Lak, diikuti Bangkok ke Chiang Mai.
Bagi siri Bangkok ke Pulau Pinang, perjalanannya berakhir di George Town, yang mana Alex mengadakan satu pameran solo pada 15 Mac hingga 18 Mei lalu bertempat di galeri Cultprint.
Di sana, dia mempamerkan kesemua 21 buah lukisan yang berjaya dihasilkan sepanjang pengembaraan itu.
Bermula dengan hanya sebuah basikal, bekalan asas dan peralatan melukis, Alex Face meninggalkan ruang studionya yang penuh selesa di Bangkok dan memilih jalan raya terbuka sebagai ruang kerja baharunya.
Antara destinasi persinggahannya termasuk Cha Am, Chumpon, Pantai Khai Nao dan Alor Setar.

Ujar Alex, perjalanan itu bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga satu pencarian jiwa yang mendalam, menghubungkan semula dirinya dengan alam semula jadi.
Bahkan, dia jua tidak merancang apa yang mahu dilukis dan hanya membiarkan perjalanan itu menjadi petunjuk kepadanya.
“Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan atau apa yang akan saya temui di sepanjang jalan.
“Sepanjang dua minggu itu, otak saya terus bekerja dan terus merancang apa yang akan saya hasilkan,” katanya.
Di setiap perhentian, sama ada di bandar kecil atau kawasan terpencil, Alex Face meluangkan masa untuk melukis, ‘menangkap’ suasana, emosi dan keunikan tempat yang dilaluinya di atas kanvas mudah alih.
Sepanjang perjalanan berbasikal terpanjangnya itu, sebanyak tiga lukisan telah berjaya disiapkan Alex di Malaysia.
Lukisan pertamanya menampilkan satu sawah padi di Alor Setar, lukisan keduanya pula adalah pemandangan di Gunung Jerai, manakala lukisan ketiga adalah adalah suasana matahari terbenam di George Town.
Menurut Alex, dia belajar banyak perkara saat berbasikal.
Biarpun mencabar, Alex berkata dia melihat perjalanan itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
“Melukis adalah menjadi cara saya mengumpul memori dan menikmati pengalaman itu secara perlahan-lahan,” katanya.














