GEORGE TOWN – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kes membabitkan 20 kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari yang diselamatkan dalam satu operasi khas di Bukit Mertajam, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, hasil siasatan mendapati tiada unsur pemerdagangan manusia atau penderaan yang berlaku dalam kes berkenaan.
Berikutan itu, katanya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang mengikut akta yang berkaitan.
”Benar kes ini melibatkan polis, namun setelah siasatan dijalankan, kita mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dapat dikesan, sama ada berlaku unsur penderaan, pemerdagangan manusia atau lain-lain (jenayah).
”Kita menyerahkan kembali kes ini kepada JKM Pulau Pinang untuk disiasat mengikut akta yang berkaitan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Alwi, polis juga telah selesai mengambil keterangan daripada semua kanak-kanak terlibat termasuk seorang wanita yang merupakan ibu kepada bayi perempuan berkenaan.
Semalam, media melaporkan seramai 20 orang kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari diselamatkan dalam satu operasi khas di sebuah gudang dan sebuah rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar di sekitar Bukit Mertajam, 21 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE