KUANTAN – Cubaan tiga lelaki untuk meloloskan diri dengan terjun ke dalam sungai gagal apabila mereka berjaya dicekup pihak berkuasa dalam serbuan operasi bersepadu melibatkan lapan agensi di Sungai Belat, di sini, pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, dua daripada mereka bertindak ekstrem apabila sanggup meniarap dalam sungai berlumpur di bawah jeti dengan harapan tidak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakan itu sia-sia apabila kehadiran mereka dapat dihidu pasukan operasi yang mengepung kawasan tersebut menggunakan bot.
Lelaki terbabit pada mulanya enggan menyerah diri dan berkeras tidak mahu keluar daripada persembunyian menyebabkan anggota penguatkuasa terpaksa turun ke bawah jeti untuk menangkapnya.
Difahamkan, suspek berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan dan mereka diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd Marmizi Md Nor, operasi yang diselaraskan itu bertujuan membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan negeri ini termasuk isu dadah dalam kalangan komuniti nelayan.-KOSMO! ONLINE














