BAGI memudahkan tugas pengisian semula stok barangan kedai serbaneka di stesen kereta api bawah tanah, Shenzhen Metro Group memilih menggunakan perkhidmatan robot autonomi.
Robot comel memiliki ketinggian sekitar 1.5 meter itu akan menaiki kereta api tanpa bantuan manusia untuk menghantar barang ke kedai serbaneka, 7-Eleven yang terletak di stesen metro sekitar Shenzen, China.
Gabungan antara Shenzhen Metro Group dan VX Logistics iaitu anak syarikat Vanke Group telah berjaya membantu kakitangan kedai serbaneka mengisi semula stok barangan yang kehabisan pada waktu puncak.
Menariknya, teknologi itu merupakan perkhidmatan penghantaran robotik di stesen kereta api bawah tanah pertama di dunia.
Memetik laporan Global China Daily, robot autonomi itu dilengkapi sistem penjadualan dengan kecerdasan buatan (AI) dan navigasi berbilang penderia.
Teknologi itu membolehkan robot merancang laluan penghantaran secara optimum, mengelak pejalan kaki dan menaiki kereta api ke stesen secara bebas.
Menurut pengurus kedai serbaneka di Stesen Wanxia, Li Yanyan, projek tersebut dilihat efektif dan sesuai dengan era teknologi masa kini.
“Sebelum ini kedai-kedai di dalam stesen metro bergantung pada konsep penghantaran secara tradisional.
“Kakitangan penghantar akan menggunakan troli untuk membawa bekalan dan mereka memerlukan ruang yang banyak di dalam koc kereta api.
“Jika menggunakan robot ini, ia lebih mudah, selesa dan selamat kerana tidak memerlukan ruang yang besar dan kelihatan comel.
“Tentu sahaja penumpang akan berasa senang melihatnya dan memberi kerjasama kepada robot ini,” ujarnya.

Sebanyak 41 buah robot telah digunakan untuk membantu menghantar barangan makanan dan minuman di kedai serbaneka.
Setiap robot dilengkapi dengan casis empat roda yang kelihatan seperti penguin futuristik.
Kepala robot itu menempatkan skrin LED yang sentiasa mempamerkan senyuman mesra, sekali gus membuatkan penumpang sentiasa menyambut baik kehadiran robot comel tersebut.
Dengan kemampuan membawa sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) bebanan (makanan pek kecil), robot tersebut mampu membantu kakitangan kedai mengisi semula stok dengan lebih pantas.
Yanyan juga yakin bahawa kejayaan menggunakan robot itu di rangkaian metro Shenzhen telah membuatkan permintaan perkhidmatan dalam sektor peruncitan meningkat.
“Bayangkan bagaimana kami selama ini bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan menggunakan kaedah penghantaran tradisional.
“Kami perlu menghadapi kesesakan pada waktu puncak apabila kenderaan penghantaran bergelut untuk mengakses kawasan stesen metro.
“Perkhidmatan robotik ini juga sesuai untuk kedai runcit di kawasan terpencil dan berada jauh dari laluan dan memerlukan penghantaran dibuat menggunakan troli,” katanya.
Sejajar dengan evolusi pendigitalan, Ketua Automasi VX Logistics, Hou Shangje meletakkan harapan agar Shenzhen menjadi bandar pintar pada 2027.
“Saya yakin usaha ini akan berjaya kerana ia telah mendapat reaksi positif daripada pengurus kedai serbaneka terlibat.
“Pada masa hadapan, projek ini akan meningkatkan penggunaan sistem metro di luar waktu puncak.
“Ini sekali gus mengurangkan tekanan trafik jalan raya dan memacu logistik bandar ke arah pembangunan pintar dan hijau,” katanya.

Tambah Shangje, robot tersebut dibina dengan kemampuan teknikal agar rodanya dapat melalui kawasan jalan tidak rata (tahap sederhana) tanpa merosakkan muatan dibawa.
“Setiap robot memiliki casis yang cukup sempurna bagi membolehkan bergerak di antara orang ramai, celah platform dan pintu kereta api dengan ketepatan klinikal.
“Rekaan casis robot ini membolehkan melepasi jurang lif dan gerabak dengan selamat,” ujarnya.
Bagi memastikan robot beroperasi dengan lancar, ia direka dengan menyepadukan algoritma penjadualan AI, casis mekanikal dan teknologi perkakasan.
Sistem penjadualan pintar berfungsi sebagai ‘otak’ operasi yang membolehkan robot merancang laluan berdasarkan pesanan harian dari kedai serbaneka.
Memiliki berat fizikal sekitar 40 hingga 50kg, robot tersebut hadir dalam dua warna iaitu kelabu dan merah jambu.
Menariknya, penggera keselamatan turut dipasang bagi mengelak berlaku kecurian pada pintu ruang penyimpanan yang berada di belakang badan robot.
Pada masa ini, terdapat lebih 100 kedai serbaneka di rangkaian metro Shenzhen yang memiliki 17 laluan dan lebih 400 stesen.
Berdasarkan sistem diperkenalkan itu, projek tersebut boleh mencapai perancangan laluan yang optimum untuk berbilang robot melayani pelbagai kedai serbaneka.
Teknologi robot penghantaran itu akan menjalani pengoptimuman mengikut inovasi digital dan pergerakan berterusan berdasarkan data prestasi.
Sebagai peneraju global dalam penempatan robotik di kilang, hospital dan keselamatan awam, Shenzhen berhasrat untuk merintis infrastruktur pintar.
Bandar itu juga ingin mentakrifkan semula konsep integrasi perdagangan, pengangkutan dan automasi bandar.














