KUALA TERENGGANU – Tiga pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu direman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes suapan berjumlah RM25,000.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an itu dibenarkan Majistret Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mengesyaki kesemua suspek menerima suapan itu sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.
“Ia melibatkan 14 projek pembangunan sejak 2015 hingga 2019. Mereka disyaki menerima suapan daripada syarikat terlibat menerusi transaksi ke dalam akaun bank masing-masing.
“Sebelum ini, seorang pengarah sebuah agensi kerajaan negeri ini ditahan bagi membantu siasatan kes sama melibatkan amaun berjumlah RM900,000 pada Januari lalu,” katanya di sini, hari ini.
Sumber memberitahu, ketiga-tiga suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di sini pada pukul 2.30 petang semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan susulan.
Kosmo! pada 20 Januari lalu melaporkan dua lelaki termasuk seorang pengarah agensi kerajaan di Terengganu direman enam hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM900,000. – KOSMO! ONLINE