KUALA LUMPUR – Projek-projek swasta yang mempunyai nilai strategik atau kepentingan awam yang tinggi boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara projek tersebut seperti pembinaan perumahan mampu milik dan infrastruktur kritikal.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan pengecualian SST berdasarkan kes demi kes. Ini memerlukan permohonan dan kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ir. Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) apakah langkah-langkah kerajaan untuk terus membantu sektor pembinaan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan menawarkan insentif SST untuk menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menjanjikan kecekapan dan pengurangan kos jangka panjang,
Menurut beliau, insentif itu termasuk pengecualian atau kadar yang lebih rendah untuk komponen IBS tertentu atau projek yang menggunakan peratusan IBS yang tinggi.
Selain itu, katanya, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan persatuan-persatuan industri pembinaan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cabaran pelaksanaan SST.
Jelas beliau, langkah itu membolehkan Kerajaan memahami isu-isu praktikal dan membuat pelarasan dasar jika perlu.Penekanan kepada Produktiviti dan Inovasi.
“Kerajaan menggalakkan industri untuk melabur dalam teknologi moden, automasi dan amalan pembinaan yang lebih cekap untuk mengurangkan kos operasi secara keseluruhan.
“Ini termasuk penggunaan Building Information Modeling (BIM), IBS dan kaedah pembinaan yang mampan yang mana pada jangka masa panjang dapat mengimbangi kesan kenaikan kos termasuk SST,” katanya. – KOSMO! ONLINE