KANGAR – Festival Kraf Utara (FKU) 2025 yang berlangsung selama 12 hari di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Jalan Kuala Perlis di sini, menjadi pemangkin terbaik kepada usaha mengkomersialkan produk kraf tempatan ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli berkata, usaha berkenaan disokong pengenalan elemen baharu dalam festival berkenaan, iaitu sesi padanan perniagaan melibatkan usahawan tempatan dan pembeli dari luar negara.
“Buat julung kali kita memberi fokus kepada aktiviti padanan perniagaan untuk membuka lebih banyak peluang pasaran bagi usahawan kraf tempatan.
“Dengan kerjasama rakan strategik, kita berjaya membawa wakil dari selatan Thailand dan negara jiran untuk menjalin hubungan terus dengan usahawan,” katanya kepada pemberita di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, di sini Sabtu lalu.
Turut hadir memeriahkan festival berkenaan ialah Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand – Asia Tenggara, Aida Oujeh bersama delegasi dari selatan Thailand.
Menurut `Ainu Sham, usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan jualan usahawan secara terus, malah membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang dalam pelbagai aspek termasuk produk, pembekalan bahan mentah serta peningkatan kualiti.
“Festival ini disertai 70 usahawan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, yang semuanya mempersembahkan pelbagai hasil kraf unik serta bernilai seni tinggi.
“Kita turut mengetengahkan produk komuniti kraf baharu hasil inisiatif Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dari empat buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran FKU 2025 sehingga 4 Ogos ini dijangka menarik kehadiran seramai 35,000 pengunjung dan nilai jualan yang disasarkan mencecah RM1 juta.
“Acara ini secara langsung dapat membantu usahawan menjana pendapatan dan memperluas jaringan perniagaan dalam dan luar negara,” jelasnya.