LONDON – Bintang jarak jauh remaja, Innes Fitzgerald kini mengintai tempat ke Kejohanan Dunia di Tokyo bulan depan selepas memadam rekod 40 tahun Zola Budd dalam acara 5,000 meter (m) bawah 20 tahun (b-20) Eropah.
Fitzgerald, 19, mencatat 14 minit 39.56 saat pada saingan Liga Berlian di London minggu lalu, lebih laju lapan setengah saat daripada catatan legenda Afrika Selatan itu yang bertahan sejak 1984.
Larian luar biasa itu bukan sahaja meletakkan Fitzgerald sebagai atlet kelima terpantas Britain sepanjang zaman dalam acara 5,000m dan melonjakkannya ke ranking ke-33 dunia tahun ini.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk berada dalam dua teratas. Kalau dapat tempat kedua pun saya gembira, tapi pastinya saya mahu menang dan jadi juara kebangsaan,” katanya.
Untuk layak automatik ke Tokyo, Fitzgerald perlu menamatkan Kejohanan Kebangsaan Britain dalam kelompok dua terbaik, namun masih berpeluang dicalonkan melalui budi bicara kesatuan olahraga negara itu.
Dilatih bekas atlet Olimpik, Jo Pavey dan suaminya Gavin, Fitzgerald kini menjadi pelari kedua terpantas Britain musim ini di belakang juara United Kingdom, Hannah Nuttall.
“Kami masuk musim ini tanpa banyak jangkaan, tapi layak ke Kejohanan Dunia memang jadi matlamat utama,” ujar penuntut sains sukan dari Universiti Exeter itu.
Fitzgerald juga mengakui bangga berdiri sebaris dengan legenda dan menyifatkan musim ini merupakan gilirannya untuk beraksi.
“Dapat sebaris dengan legenda seperti Zola Budd menyedarkan saya bahawa setiap generasi ada masanya dan kini giliran saya pula,” tambah remaja itu. – AGENSI