STUTTGART – Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff menegaskan dua pemandunya, George Russell dan Andrea Kimi Antonelli kekal sebagai keutamaan pasukan musim depan meskipun terdapat khabar angin mengenai potensi penyertaan juara dunia, Max Verstappen.
Spekulasi bertiup kencang beberapa minggu lalu selepas wakil Verstappen dilaporkan menghubungi pihak Mercedes bagi membincangkan rancangan masa depannya, berikutan ketidaktentuan prestasi Red Bull menjelang era enjin baharu F1 pada 2026.
Verstappen yang kini terikat kontrak dengan Red Bull sehingga 2028, mempunyai pilihan untuk menyertai Mercedes selepas memiliki klausa keluar yang boleh diaktifkan seawal cuti musim panas ini.
Desas-desus itu semakin kuat selepas Red Bull memecat ketua pasukannya, Christian Horner dengan Laurent Mekies mengambil alih tugas untuk Grand Prix (GP) Belgium nanti.
Bagaimanapun, Wolff menamatkan spekulasi dengan menyatakan Russell dan Antonelli adalah hala tuju utama Mercedes bagi musim depan.
“Arah tuju kami jelas dan kami mahu kekalkan Russell dan Antonelli. Tapi kita juga tak boleh menutup mata terhadap pelumba seperti Max (Verstappen) dan perancangannya. Kami ambil maklum, tapi saya tak jangka akan ada kejutan besar,” kata Wolff.
Wolff turut menolak dakwaan beliau dan Verstappen telah bertemu secara rahsia di Sardinia, Itali semasa cuti antara GP British dan GP Belgium.
“Kalau anda bercuti berhampiran satu sama lain, itu tak bermaksud anda akan bekerja bersama dalam F1. Kami memang berhubung baik. Kebetulan saja kami bercuti di kawasan yang sama,” katanya. – AGENSI