KAJANG – Polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai pengedar air ketum di Taman Sri Timah dekat sini semalam.
Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas 23 bungkusan disyaki air ketum, bungkusan daun ketum segar (36) dan satu plastik daun ketum basah yang diletakkan di dalam sebuah beg perkhidmatan penghantaran makanan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kajang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menjalankan aktiviti pengedaran air ketum di kawasan Lembah Klang sejak sebulan yang lalu dengan menggunakan kenderaan persendirian.
“Saringan awal air kencing mendapati, suspek negatif dari sebarang jenis dadah bagaimanapun suspek akan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zaid lagi, jumlah keseluruhan rampasan daun dan air ketum terbabit dipercayai boleh dibekalkan kepada 20 hingga 50 pengguna.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 487 yang boleh dibekalkan sehingga 50 pengguna air ketum di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika disabitkan boleh membawa hukuman didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.-K!ONLINE














