KUALA LUMPUR – Penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo membuka akaun jaringan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas meledak gol kemenangan menewaskan kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Riyadh SC 1-0 awal pagi tadi.
Sebagai rekod, Figueiredo telah menyertai kem JDT awal bulan ini selepas berhijrah daripada pasukan Liga Turkiye, Istanbul Basaksehir tetapi butiran perpindahan tidak didedahkan oleh kedua-dua pihak.
Pada perlawanan itu, Figueiredo menjaringkan gol tunggal pada minit ke-10 untuk memastikan skuad Harimau Selatan menamatkan jelajah pramusim di Sepanyol dengan noktah kemenangan.
Keputusan tersebut dianggap cukup positif buat skuad kendalian Xisco Munoz apabila sebelum ini tewas dua kali berturut-turut kepada kelab Qatar, Al-Rayyan SC dan pasukan feeder, Valencia Mestalla.
JDT yang bergelar juara quadruple pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Real Murcia Imperial sebelum meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Costa City 1-0.
Juara Piala Malaysia itu turut meraih keputusan yang dianggap positif ketika bertemu kelab ternama Wales, Cardiff City apabila seri 2-2 dan wakil La Liga, Levante UD (0-0).
Selepas ini, JDT akan pulang ke tanah air untuk memberi memberi fokus kepada aksi pembuka tirai Liga M iaitu Piala Sumbangsih menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Ogos depan.
Selain kempen Liga M, JDT juga bakal mengharungi jadual padat apabila turut bersaing pada kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) musim depan. – KOSMO! ONLINE