LONDON – Manchester United dilaporkan gagal dalam bidaan pertama untuk menandatangani penjaga gol No. 1 Argentina, Emiliano Martinez selepas memberikan tawaran ‘tidak masuk akal’ buat Aston Villa.
Difahamkan, United yang sudah berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini dengan menandatangani dua penyerang, Matheus Cunha dan Bryan Mbuemo, hanya mampu membuat tawaran secara pinjaman selama semusim untuk khidmat Martinez.
Ketua jurulatih The Red Devils, Ruben Amorim terdesak memburu penjaga gol berkualiti pada jendela perpindahan kali ini bagi menggantikan Andre Onana yang mengalami kecederaan hamstring.
Lebih malang, Onana disahkan terlepas keseluruhan aksi pramusim Jelajah Amerika Syarikat (AS) akibat kecederaan selain dijangka tersisih pada saingan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Susulan itu, United menjadikan Martinez sebagai pilihan utama untuk mengisi kekosongan Onana tetapi Villa hanya mahu melepaskan penjaga gol berusia 33 tahun itu secara tetap.
Malah, Villa sudah menetapkan tawaran harga minimum sebanyak £40 juta (RM228.1 juta) jika pengurusan United serius untuk membuat bidaan kedua dalam masa terdekat.
Selain Martinez, United turut memburu penyerang muda Perancis, Randal Kolo Muani daripada Paris Saint-Germain (PSG).
PSG dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Kolo Muani secara pinjaman dengan bayaran £8.6 juta (RM49 juta) semusim. – AGENSI