MELANGKAH buat kali pertama ke Honor of Kings World Champion Cup (KWC) 2025 yang berlangsung dalam Esports World Cup di Riyadh, Arab Saudi merupakan detik bersejarah buat Nova Esports serta arena sukan elektronik Malaysia.
Sebagai salah satu daripada tiga pasukan Malaysia yang layak mewakili negara ke KWC 2025, penyertaan Nova Esports membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas tertinggi dunia.
Selain Nova Esports, dua pasukan lain mewakili Malaysia ialah Black Shrew Esports dan All Gamers Global (bertanding sebagai Alpha Gaming semasa KWC).
Berhadapan dengan cabaran bertaraf antarabangsa dan hadiah keseluruhan bernilai jutaan dolar Amerika, pasukan Nova Esports dibarisi oleh lima pemain utama iaitu Xuan (Nicholas Ng Kai Shuan), CY (Lim Chen Yu), Wendy (Wang Jinwen), Muci (Ong Jun Yang) dan Weipit (Wai Min Jing).
Xuan memainkan peranan sebagai top laner, CY mengisi posisi jungler, Wendy menggalas tugas sebagai mid laner, Muci berada di posisi bottom laner, manakala Weipit bertindak sebagai roamer.
Seorang lagi pemain, KongLing (Chan Jun Xian), disenaraikan sebagai pemain simpanan tetapi tidak membuat sebarang penampilan dalam kejohanan KWC 2025.
Mereka turut dibimbing oleh jurulatih utama, Orange (Chen Yi); pengarah latihan, Rainer (Tsai Cheng-bang) dan pengurus pasukan, Noel (Leng Sook Heng).
Menurut Xuan, kehadiran Wendy yang pernah beraksi dalam liga profesional China iaitu King Pro League (KPL) serta jurulatih yang berpengalaman luas iaitu Orange telah memberi impak besar kepada prestasi pasukan.
“Wendy dan Orange banyak membantu kami dalam menyusun strategi, memperkemas latihan harian dan menyuntik disiplin serta struktur profesional ke dalam pasukan.
“Bagi Nova Esports, input daripada dua individu ini menjadi antara faktor penting yang membolehkan kami bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk makluman, Nova Esports diasaskan pada tahun 2016 di Hong Kong dan kini telah berkembang menjadi antara organisasi e-sukan terkemuka di Asia dengan penglibatan dalam pelbagai permainan termasuk Honor of Kings, PUBG Mobile, Wild Rift, Valorant dan Clash Royale.
Sejak penubuhannya, Nova Esports telah memenangi pelbagai kejohanan di peringkat domestik, serantau dan antarabangsa dengan kutipan hadiah keseluruhan melebihi AS$4.5 juta (sekitar RM21 juta).
Divisi Honor of Kings Malaysia ditubuhkan pada tahun 2023 dan mula menyertai liga tempatan seperti Malaysia Kings League (MKL) serta kejohanan antarabangsa termasuk Honor of Kings Invitational Season 3 dan kini World Champion Cup (KWC).

Di pentas Grand Final kejohanan Honor of Kings Invitational Season 3 yang berlangsung pada Mac lalu, pasukan Nova Esports berjaya menewaskan pencabar hebat dari Korea Selatan, Nongshim RedForce dengan keputusan 4–3 dalam format best-of-seven.
Kemenangan tersebut sekali gus menobatkan Nova Esports sebagai juara kejohanan dan membolehkan mereka menjulang trofi berprestij.
Kemenangan itu dimuktamadkan melalui Ultimate Battle dalam perlawanan ketujuh, menandakan pertarungan sengit hingga ke saat akhir.
Sebagai juara, Nova Esports membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak AS$100,000 (RM468,000) daripada jumlah keseluruhan hadiah AS$300,000 (RM1.4 juta).
Pemain top lane, Xuan, dinobatkan sebagai Finals Most Valuable Player (FMVP) atas persembahan luar biasanya sepanjang kejohanan.
Sebelum kejayaan antarabangsa ini, Nova Esports turut mencipta nama di peringkat kebangsaan apabila muncul juara Malaysia Kings League (MKL) Spring 2025.
Dalam perlawanan akhir, mereka menewaskan Black Shrew Esports dengan keputusan 4–3.
Sekali lagi, Xuan memainkan peranan penting sebagai pemain top lane dan dinobatkan sebagai FMVP untuk perlawanan akhir MKL Spring.
Kongsi pemuda berusia 23 tahun itu, antara kekuatan utama Nova Esports ialah keserasian yang kukuh dalam kalangan pemain, hasil daripada kombinasi personaliti yang saling melengkapi antara satu sama lain.
“Setiap ahli pasukan memahami peranan dan gaya permainan rakan sepasukan, sekali gus membina keserasian yang tinggi di dalam dan luar permainan.
“Latihan kami bukan sahaja tertumpu kepada mekanik permainan tetapi juga melibatkan analisis strategi, pemantapan pasca perlawanan serta bimbingan teknikal daripada jurulatih yang berpengalaman.
“Kami menjalani latihan scrim sebanyak lima kali sehari secara konsisten dengan pendekatan yang sistematik dan fokus yang tinggi terhadap pembangunan pasukan secara menyeluruh,” katanya.
Sebahagian daripada persiapan taktikal menempuhi cabaran KWC, pasukan itu turut menonton rakaman perlawanan pasukan antarabangsa seperti China, Brazil dan Turki hampir setiap hari.
Sesi tontonan tersebut disusuli dengan perbincangan aktif bersama jurulatih untuk mengenal pasti kelemahan lawan dan menyesuaikan strategi sendiri.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk pertarungan berpasukan, kawalan kawasan laluan pemain serta penyesuaian gaya permainan berdasarkan corak lawan.
Pendekatan tersebut membolehkan mereka lebih fleksibel dan bersedia menghadapi pelbagai gaya permainan di pentas dunia.
Tambah atlet kelahiran Selangor itu, selain aspek teknikal permainan, Nova Esports turut mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental seperti sesi urutan berkala.
Katanya lagi, mereka membawa bekalan makanan sendiri seperti mi segera dan sambal bagi mengatasi kesukaran untuk menerima makanan Arab.
“Kami bukan pasukan kerdil, jadi kami yakin dengan kemampuan kami untuk melakukan yang terbaik buat negara termasuk melepasi peringkat playoff.
“Namun, faktor-faktor luaran seperti penyesuaian diri dengan makanan mungkin boleh mengganggu tumpuan kami untuk beraksi.
“Oleh itu, kami juga bawa makanan sendiri dari Malaysia seperti mi segera dan sambal supaya kami tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan makanan tempatan,” katanya.














