BESUT – Cuaca panas yang sedang melanda Terengganu pada masa ini diramal akan berakhir Khamis ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, cuaca seluruh negeri ini diramal berubah kepada sedikit lembap pada hari tersebut.
Beliau berkata, ia disebabkan tiupan angin barat daya yang membawa cuaca kering pada waktu akan berkurangan mulai lusa.
“Terengganu mengalami cuaca kering sejak 14 Julail lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini tidak menerima taburan hujan selama hampir seminggu.
“Antaranya Dungun merekodkan suhu mencapai 36.1 darjah celcius, diikuti Kuala Nerus (35.3 darjah celcius), dan Kemaman (35.0 darjah celcius),”katanya ketika ditemui di Pejabat Meteorologi Terengganu di Gong Kedak, di sini hari ini.
Rosli berkata, sebelum ini, Met Malaysia telah mengeluarkan ramalan
cuaca akan lebih kering seluruh negara ekoran pembentukan ribut tropika berlaku di sebelah barat laut pasifik berhampiran Filipina pada 15 Julai lalu.
Beliau berkata, bagaimanapun keadaan di Terengganu masih terkawal dan ia banyak dibantu oleh ketiadaan pembakaran berskala besar dalam tempoh sama.
“Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka yang dikhuatiri boleh menyebabkan kemerebakan api akibat cuaca kering dan menjejaskan persekitaran termasuk masalah jerebu,”katanya. – KOSMO! ONLINE