JELEBU – Buat pertama kali, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima panggilan daripada orang awam bagi menyelamat barangan berupa telefon pintar jenis iPhone baru-baru ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Lt (PA) Mohd. Najib Abdul Karim berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.45 pagi, 12 Julai lalu daripada wanita berusia dalam lingkungan 20-an supaya membantu mendapatkan semula telefonnya yang terjatuh di kawasan curam bukit.
“Sebaik tiba di Bukit Batu Sawa, pasukan APM mendapati mangsa dan rakannya berada di lokasi. Anggota APM memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan mempersiapkan peralatan untuk turun ke curam bukit.
“Kedalaman untuk turun ke bawah dianggarkan kira-kira 10 meter dengan permukaan batu yang licin. Gajet itu berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada pemiliknya. Operasi selesai pada pukul 1.38 tengah hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Najib berkata, khidmat khas itu baru pertama kali diterima pihaknya yang sebelum ini banyak terlibat dalam operasi membantu mangsa kemalangan, banjir dan lain-lain lagi.- KOSMO! ONLINE