DILAHIRKAN dalam keluarga yang memiliki figura popular bukanlah jaminan perjalanan kerjaya akan menjadi lebih mudah.
Perkara tersebut dilalui pelakon baharu Syazwan Razak yang juga adik kepada aktor terkenal, Syafiq Kyle.
Sejak tahun lalu, Syazwan atau nama lengkapnya Mohamad Syazwan Emir Abdul Razak dilihat semakin aktif dalam arena hiburan.
Pernah didakwa menumpang nama atau menggunakan abang untuk melangkah masuk dalam gelanggang seni, Syazwan menepis dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.
“Ada orang cakap senang dapat tawaran kerja sebab abang atau erti kata mudah pakai ‘kabel’.
“Kalau orang cakap begitu saya akan tanya balik, kenapa saya baru nak pakai sekarang?” tegasnya.
Bagi dirinya, segala yang dikecap hari ini bukan hadir dengan mudah, sebaliknya dibayar dengan tekad, kerja keras dan air mata.
Namun sebagai adik kepada Syafiq, Syazwan akur perjalanan seninya akan sentiasa dilingkari bayang-bayang populariti abangnya.
“Saya tak boleh lari orang buat perbandingan, orang akan mencari kesilapan saya dan tak cari kesalahan Syafiq sebab dia kesayangan Malaysia.
“Penat juga dari dahulu asyik dibandingkan, dia pula baru berkahwin. Orang cakap tak dapat abang, dapat adik pun tidak mengapa, sangat menjengkelkan.
“Tapi nak buat macam mana, orang masih anggap saya sama macam dia. Tak boleh lari sebab saya adik dia,” ujarnya lagi.

Penanda aras
Meskipun sering menjadi mangsa perbandingan, pelakon berusia 26 tahun itu menjadikan abangnya sebagai inspirasi utama dalam membina nama dan reputasi .
“Saya letakkan Syafiq sebagai ‘benchmark’ (penanda aras) utama sebab dia dah tahap lain dan nak capai agak susah, tapi saya rasa boleh.
“Mungkin lebih dari tahap dia. Meskipun kadang-kadang dia ragu-ragu tapi dia sangat menyokong saya. Walaupun darah daging, saya tak anggap dia abang bila dalam industri sebaliknya senior saya.
“Dia selalu tanya penggambaran saya okey atau tidak. Bukan sahaja dia, isterinya (Mimi Lana) juga kerap bertanya. Ibaratnya saya ada dua kabel besar sekarang,” jelasnya lagi.
Malah, Syazwan menjadikan abang dan kakak iparnya sebagai kelebihan yang sering dijadikan rujukan serta tempat berkongsi nasihat tentang etika kerja dalam bidang seni.
“Nasihat yang mereka berikan adalah sentiasa disiplin sebab mungkin mereka tidak (lakukan) dan jangan menyusahkan orang dalam industri.
“Benda-benda tak boleh menyenangkan, jangan susahkan. Kalau boleh datang awal ke set penggambaran, usahakan.
“Kalau ada masalah beritahu. Dalam industri tak boleh menyusahkan orang lain,” tuturnya.

Bahan kecaman
Pada masa sama, Syazwan sempat mengimbau kenangan pahit beberapa tahun lalu apabila wajahnya menjadi bahan kecaman ramai.
Kejadian berlaku sewaktu menyertai uji bakat pencarian Hero Remaja.
“Masih ada gambar itu (wajah berisi) dalam aplikasi X, orang cakap muka saya macam Syafiq Kyle kena sengat tebuan tapi itu menjadi pembakar semangat.
“Saya dikecam, katanya tidak sedar diri. Kecewa juga waktu itu sampai tahap tak keluar rumah sebab pertama kali kena kecam. Saya pun pergi uji bakat tanpa jangkakan apa-apa, hanya mahu cari pengalaman.
“Disebabkan perkara tersebut saya lebih berjaga-jaga dalam melakukan apa-apa. Saya juga kurang bercakap selepas kejadian itu,” ujarnya.
Kini, Syazwan baru sahaja habis menjalani penggambaran drama terbaharu berjudul BF Greenflag yang digandingkan bersama pelakon Athalia.
Menurutnya, ini pertama kali dia memegang watak utama dan di sebalik peluang keemasan tersebut terselit rasa gementar yang sukar digambarkan.
“Ini pertama kali saya jadi hero, hampir tak nak buat sebab belum bersedia. Gementar dan risau semua ada sebab tiba-tiba saja jadi pelakon utama.
“Banyak benda saya fikir terutama mengenai diri sendiri. Fizikal saya okey ke, penampilan saya sudah bersedia jadi hero ke?
“Tambahan pula media sosial sangat seram, kejam dan jahat. Mereka tak suka bagi masa untuk berubah, apa yang mereka nampak terus nak menghakimi,” tutupnya.
