fbpx
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: Arab Saudi tidak beri kuota tambahan haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Arab Saudi tidak memberi kuota tambahan haji kepada mana-mana negara termasuk Malaysia bagi musim haji 1446H/2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kuota haji rasmi tahunan yang diperuntukkan Arab Saudi sebanyak 31,600.

“Kuota tambahan hanya diberikan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) pada 1445H. Tiada kuota rasmi haji Malaysia yang tidak digunakan bagi 2020 hingga tahun ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kuota tambahan haji kepada ejen pelancongan sah.

Sementara itu, Mohd. Na’im memaklumkan, permohonan bantuan subsidi haji daripada golongan B40 dan M40 semakin berkurangan.

Kata beliau, keadaan itu mendorong kepada peningkatan sebanyak 3.25 peratus dividen Lembaga TH tahun lalu.

Jelas beliau, kesedaran terhadap kemampuan melakukan ibadah itu dalam kalangan umat Islam negara ini semakin meningkat.

Katanya, tahun lalu seramai 263 jemaah menolak bantuan subsidi secara sukarela, manakala bagi 2023 seramai 396 jemaah.

Menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau), beliau berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani penipuan tawaran haji.

Jelas beliau, jawatankuasa khas itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), TH serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas tersebut bagi menghalang mana-mana syarikat atau pihak untuk membawa umat Islam menunaikan haji tanpa permit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN