KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India berusia lingkungan 50-an ditemukan rentung dalam satu insiden kebakaran membabitkan sebuah unit rumah di tingkat 10, Blok B, Flat Hang Tuah, di sini hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS999 pada pukul 2.54 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 2.58 pagi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah unit kediaman dengan keluasan kira-kira 400 kaki persegi.
“Kebakaran menyebabkan kemusnahan seratus peratus terhadap unit terlibat dan berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.10 pagi.
“Seorang mangsa lelaki ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.35 pagi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE.