KEKURANGAN diri bukan penghalang kepada seseorang untuk mencipta kelebihan.
Itulah prinsip dipegang oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Zulfaqar Aslam Zulkefli, 24, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU).
Anak kelahiran Muar, Johor itu semakin meningkat nama sebagai content creator (pencipta kandungan) menerusi kisah-kisah inspirasi yang dikongsikan dalam platform media sosial, TikTok miliknya.
Berkongsi kisah kepada K-Kampus, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia telah diuji sejak lahir dengan masalah fizikal akibat penyakit Cerebral palsy atau kelumpuhan otak.
Namun, cabaran tersebut tidak pernah memadamkan semangatnya untuk berjaya dalam akademik dan dunia digital yang semakin berkembang pesat.
Mengimbas perjalanan sebagai mahasiswa OKU di UniSZA, pemuda yang mesra disapa Aslam itu memberitahu, cabaran paling besar adalah untuk memahamkan orang lain mengenai keadaan serta keinginannya menyertai setiap aktiviti.
“Saya juga mahu aktif, ingin ikut serta dalam program di kampus, tetapi tidak semua orang faham betapa pentingnya aktiviti itu bagi saya.
“Kadang-kadang saya rasa tersisih, namun saya tetap berusaha,” tuturnya penuh semangat.
Antara kenangan paling manis bagi Aslam adalah sewaktu menyertai program kesukarelawanan di Sabah pada tahun 2022 bersama Persatuan Mahasiswa Kerja Sosial (PMKS).
Menariknya, Aslam merupakan satu-satunya mahasiswa OKU yang menyertai program tersebut.
Tidak setakat itu, dia juga berjaya membawa komuniti pelajar OKU UniSZA menyertai program luar kampus ke Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu dengan sokongan Majlis Perwakilan Pelajar.
Berkongsi mengenai penglibatan dalam dunia penciptaan kandungan, Aslam memberitahu, ia bermula daripada galakan ibunya.
Ujar Aslam, ibunya berjaya mengesan bakat dimilikinya dalam menyunting video dan bercakap di hadapan kamera.
Tambahan pula, dia mendapat inspirasi daripada rakan senasib yang juga seorang content creator serta tokoh OKU berjaya, Sukur Ibrahim.
“Saya kagum dengan Sukur Ibrahim, Khairul Aming dan ramai lagi content creator termasuk mereka yang OKU seperti saya.
“Mereka membuktikan bahawa orang macam saya (OKU), sebenarnya boleh dan mampu berjaya walaupun ada kekangan fizikal,” katanya.
Sementara itu, Aslam menyifatkan medium TikTok mudah digunakan dan lebih pantas meraih perhatian serta mendapat penglibatan daripada pengguna.
Untuk makluman, kandungan Aslam di TikTok berkisar mengenai aktiviti harian di kampus, kehidupan sebagai pelajar OKU dan perkongsian menjalani latihan industri di Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA.
Meskipun berdepan komen-komen negatif dan salah faham dalam dunia digital, namun Aslam bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan serta pensyarah di UniSZA yang sentiasa menyuntik semangat untuk dia terus berkarya.
Disoal mengenai harapan, dia berharap dapat menamatkan pengajian dan bekerja dalam bidang diminati terutamanya melibatkan kerja sosial.
Pada masa sama, dia mahu terus aktif sebagai content creator yang mampu memberi inspirasi kepada komuniti OKU dan menyebarkan kesedaran buat masyarakat.
“Saya mahu orang tahu yang orang OKU juga boleh berdikari, berjaya dan berkongsi ilmu serta pengalaman mereka.
“Saya juga mahu menggunakan platform TikTok untuk memberi inspirasi kepada semua golongan,” katanya yang kini mempunyai hampir 105,000 di TikTok.
Sebelum menutup bicara, Aslam menitipkan pesanan buat rakan-rakan mahasiswa terutama golongan istimewa sepertinya supaya memanfaatkan peluang yang ada.
“Jangan sesekali takut untuk menonjolkan bakat anda. Gunakan kelebihan media sosial untuk berkongsi bakat, ilmu dan semangat.
“Dunia kini terbuka luas untuk sesiapa sahaja yang berani untuk mencuba,” katanya.
















