KUALA LUMPUR – Polis telah merujuk satu kes fitnah yang tular di media sosial membabitkan seorang pelakon wanita kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pelakon berusia 24 tahun berhubung kes fitnah ke atas dirinya.
“Laporan dibuat pada semalam sekitar pukul 3.49 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Isu ini telah tular di media sosial termasuk aplikasi TikTok, Instagram serta beberapa portal berita hiburan.
“Kes dirujuk kepada pihak MCMC bagi tindakan lanjut untuk menurunkan posting serta komen berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan, kesal apabila terus menjadi sasaran netizen selepas didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin, pelakon Alya Iman nekad membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.
Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil, 24, memaklumkan fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan kerjaya seninya, malah turut memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya. – KOSMO! ONLINE