SHAH ALAM – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) komited membantu golongan yang memerlukan melalui dana hasil kutipan penganjuran golf amal berjumlah RM270,000 di Kelab Golf Glenmarie di sini baru-baru ini.
Sumbangan itu akan digunakan bagi menyokong pelbagai program kebajikan dan bantuan kemanusiaan di samping memperkasa pembangunan sosial, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
YSB dalam satu kenyataan berkata, edisi ke-28 kejohanan itu mendapat penyertaan lebih 80 pemain daripada wakil agensi korporat, penderma, jabatan kerajaan dan rakan strategik.
“Hasil sumbangan akan disalurkan kepada bidang keutamaan kedua-dua organisasi termasuk bantuan kecemasan, promosi kesihatan serta pembangunan daya tahan komuniti.
“Antara inisiatif yang bakal mendapat manfaat termasuk respons bencana, perkhidmatan klinik kesihatan bergerak, bantuan makanan, sokongan pendidikan dan program komuniti khususnya untuk kumpulan B40, migran, warga emas, komuniti Orang Asli dan komuniti rentan,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah diserikan dengan titah ucapan Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemegang Amanah YSB, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda menzahirkan penghargaan tertinggi kepada semua pihak yang terus menyokong kejohanan ini sebagai platform kebajikan yang memberi impak besar kepada masyarakat.
Kejohanan itu diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah serta ucapan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan penyokong yang menjayakan acara itu.
Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah penerbitan majalah istimewa bertajuk The Homage to DYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mengupas perjalanan hidup Almarhum sebagai seorang raja, pemimpin, bapa dan insan berjiwa rakyat.