PONTIAN – UMNO mengalu-alukan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan pemimpin UMNO isu berkaitan Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, pihaknya bersedia menjadikan Ibu Pejabat parti itu sebagai lokasi pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pucuk pimpinan parti.
“Paling penting kesediaan Perdana Menteri untuk bertemu dengan pemimpin kanan UMNO adalah amatlah dihargai dan dialu-alukan.
“Ini kerana (desakan ketua bahagian UMNO) itu mewakili ahli akar umbi yang menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada bekas pimpinan kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Dewan Muafakat Johor, Taman Sentosa, di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan sedia mengadakan perbincangan dan memberi penjelasan kepada pimpinan UMNO berhubung Titah Adendum bekas Perdana Menteri itu. – KOSMO! ONLINE