LONDON – Arsenal berjaya melengkapkan perpindahan, Noni Madueke dari Chelsea untuk muncul pemain baharu keempat ditandatangani oleh The Gunners yang nekad untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan.
Sumber memberitahu, Arsenal bersetuju dengan nilai perpindahan sebanyak £48 juta (RM273.47 juta) untuk mendapatkan Madueke yang berhijrah ke Stamford Bridge pada 2023 dari PSV Eindhoven dengan nilai £30 juta (RM170.92 juta).
“Sebelum ini saya hanya tenang menantikan keputusan yang bakal dibuat oleh kedua-dua kelab dan selepas diberikan lampu hijau, saya tiba di sini dengan perasaan gembira. Saya bangga dan ini merupakan saat yang sangat hebat.
“Arsenal adalah pasukan yang luar biasa dan memiliki identiti yang jelas. Saya tidak sabar untuk menunjukkan gaya permainan saya serta membantu pasukan ini sedaya upaya,” kata Madueke dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui sangat meminat gaya permainan Madueke dan mengakui kelab itu cuba untuk mendapatkan khidmatnya sejak musim panas tahun lalu.
“Pada usia 23 tahun, Noni akan memberikan pengalaman beraksi di peringkat kelab serta bersama skuad kebangsaan ke dalam pasukan ini. Dia juga merupakan pemain yang mengetahui selok belok aksi di Liga Perdana Inggeris,” jelasnya.
Madueke menjadi pemain keempat yang berjaya ditandatangani oleh Arsenal selepas mereka berjaya melengkapkan perpindahan Kepa Arrizabalaga, Christian Norgaard dan Martin Zubimendi.
Madueke membuat 46 penampilan dalam semua kejohanan bersama Chelsea musim lalu dengan menjaringkan 11 gol dan itu menjadi faktor utama Arsenal membuat keputusan mendapatkan khidmatnya. – AGENSI