fbpx

Jumpa mayat Aishdayan Rayqal selepas laung azan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua saksi kejadian menunjukkan laluan digunakan mangsa bagi memasuki kawasan takungan air di tapak projek mitigasi banjir itu.

SHAH ALAM – Laungan azan yang dilakukan beberapa remaja berjaya ‘membantu’ dalam penemuan seorang daripada mangsa yang lemas di kawasan takungan air tapak projek Selangor Mitigasi Banjir Sungai Klang berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 24 di sini, semalam.

Usaha itu dilakukan selepas pencarian terhadap Aishdayan Rayqal Arijanto, 9, hampir 20 minit di lokasi berkenaan dalam kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira 6.30 petang.

Seorang saksi kejadian dikenali Khairil 14, memberitahu, sebelum kejadian dia bersama lima lagi rakannya sedang berada di kawasan gelanggang sepak takraw berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, dia kemudiannya mendengar jeritan meminta tolong daripada tiga rakan mangsa.

“Mereka menyatakan ada budak lemas namun kami ingat hanya main-main sebelum saya dan lima lagi rakan turun ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kawasan tersebut berselut dengan saya berlari di kawasan taman perumahan meminta tolong daripada penduduk kampung lain,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bercerita lanjut, remaja itu memaklumkan penduduk kampung kemudiannya tiba termasuk dengan membawa batang paip besi yang panjang bagi proses penyelamatan.

“Suasana ketika itu memang kelam-kabut. Budak lelaki yang darjah enam (Che Syazwan Irwan Shah, 12) ditemui kira-kira pukul 7 petang.

“Kami dimaklumkan rakan-rakan mangsa bahawa dia lemas ketika menyelamatkan seorang lagi rakannya (Aishdayan Rayqal) selepas dikatakan mandi dalam takungan air itu.

“Sejurus itu, saya dan rakan-rakan lain melaungkan azan bagi mempermudahkan urusan pencarian mangsa kedua,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Al-Amin Ambiah, 39, memaklumkan terjun ke takungan air bagi membawa keluar kedua-dua mangsa.

“Saya ingat cetek rupanya dalam sebelum menyelam cari dan berjaya menemui seorang kanak-kanak lelaki. Mangsa kedua mengambil masa lewat sikit dalam tempoh 10 minit berbanding mangsa pertama dikeluarkan pukul 7 malam.

” Ini disebabkan dasarnya dalam serta terpaksa berpaut pada batang paip besi dengan disokong dua kumpulan penduduk di bahagian kiri dan kanan,” katanya.

Tambahnya, dia sempat membuat bantuan pernafasan kepada Aishdayan Rayqal namun gagal menyelamatkannya.

“Jarak antara dua mangsa itu dianggarkan tiga tapak kaki. Ini kejadian pertama seumpamanya berlaku di lokasi ini,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan hasil siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa lemas selepas mandi di tapak projek mitigasi banjir itu.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI