PETALING JAYA – “Suami kata tak salah untuk dia berpoligami. Memang betul, poligami itu tidak salah dari sudut hukum. Tapi yang menjadi salah bila tidak mampu.”
Demikian teguran Peguam Syarie, Fahmi Ramli terhadap sikap sesetengah suami yang terburu-buru untuk berkahwin dua tanpa menilai keupayaan diri.
Menurut beliau, isu tersebut timbul susulan satu kes di Mahkamah Syariah melibatkan seorang wanita yang memohon perceraian kerana tidak bersetuju dengan hasrat suaminya untuk berkahwin lagi.
Fahmi berkata, berdasarkan maklumat kes, suami tersebut hanya mempunyai pendapatan sekitar RM4,000 sebulan bagi menyara isteri dan anak-anak termasuklah kesemua mereka tinggal di Shah Alam.
“Makan pun cukup-cukup dan hanya sekadar…ala kadar. Pendapatan pun bukannya sampai RM10,000 pun, biasa-biasa je.
“Jadi, kalau benda macam tu, kita rasa kita mampu dan sebagainya, ‘check’ balik. Apa kos dan komitmen yang kita tanggung tersebut? Bolehkah kita berlaku adil dan bolehkah kita menjadi suami yang terbaik?,” katanya menerusi perkongsian video di kumpulan Telegram.
Jelas beliau, kemampuan bukan sekadar dinilai dari sudut kewangan, tetapi juga kemampuan emosi, masa dan keadilan.
“Okey. Ada benda yang tak cukup yang sepatutnya disediakan tetapi kurang. Tetapi, isteri ini yang bantu. Jadi, semak balik kemampuan dan kenapa patut untuk kita nak poligami.
“Kalau takat bagi alasan tu ‘klise’ sangat. Nak elak maksiat, puasa pun tak apa lah. Puasa pun boleh elak maksiat. Kurus pun dapat,” tegurnya.
Fahmi turut mengingatkan para suami supaya tidak mempergunakan hukum sebagai lesen untuk melepaskan nafsu tanpa memperhalusi tuntutan syarak dan keperluan sebenar rumah tangga. – KOSMO! ONLINE