fbpx

Wissa pilih Spurs, tak minat Newcastle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WISSA (kiri) mahu menyertai Spurs berbanding Newcastle disebabkan faktor Frank sebagai pengurus kelab itu. - AFP

LONDON – Penyerang Brentford, Yoane Wissa dilaporkan lebih cenderung menyertai Tottenham Hotspur meskipun Newcastle United turut berminat mendapatkan khidmatnya.

Newcastle sebelum ini mengintai peluang membawa masuk Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt, namun hasrat tersebut tergendala selepas Liverpool tampil dengan bidaan rasmi untuk pemain muda Perancis itu.

Situasi itu mendorong The Magpies beralih arah kepada Wissa yang turut berada dalam radar Nottingham Forest, namun dikatakan hanya mahu bergabung semula dengan bekas pengurus di Brentford, Thomas Frank yang kini membimbing Spurs.

Pemain antarabangsa Congo itu sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Brentford tetapi keputusan akhir dijangka dibuat selepas Manchester United melengkapkan rundingan dengan Bryan Mbeumo iaitu rakan sepasukan Wissa yang kini tersekat pada isu yuran perpindahan.

Forest pula dua kali mencuba, termasuk bidaan terkini minggu lalu yang ditolak serta-merta sebelum tawaran bernilai £25 juta (RM142.51 juta) pada Januari juga gagal memikat Brentford.

Musim lalu, Wissa menikmati kempen cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila meledak 19 gol dan mencipta empat bantuan jaringan, kesemuanya di bawah kendalian Frank.

Brentford menetapkan harga £50 juta (RM285.02 juta) bagi melepaskan Wissa dan jika dipenuhi, ia bakal menjadi jualan termahal kelab, mengatasi rekod £40 juta (RM228.02 juta) yang diterima daripada Al Ahli untuk Ivan Toney musim lalu.

Wissa masih terikat kontrak sehingga 2026 dengan pilihan lanjutan setahun, namun masa depannya dijangka terus diperdebatkan ketika Newcastle sedang melengkapkan skuad menjelang aksi pembuka tirai EPL menentang Aston Villa pada 16 Ogos depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI