GEORGE TOWN – Seekor ikan lumba-lumba spesies Finless Porpoise ditemui mati terdampar di pesisir Pantai Tanjung Tokong, Isnin lalu.
Penemuan tersebut dilaporkan oleh orang awam kepada pihak Jabatan Perikanan Pulau Pinang sebelum sepasukan pegawai dari Cawangan Konservasi dan Perlindungan jabatan itu digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Perikanan Pulau Pinang, hasil pemeriksaan mendapati bangkai lumba-lumba berukuran kira-kira 1.40 meter panjang dan dikenal pasti sebagai spesies yang tergolong dalam kategori mamalia marin terancam.
“Data berhubung insiden ini telah direkodkan sebagai sebahagian daripada pemantauan terhadap populasi dan ancaman terhadap spesies marin di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, bangkai ikan lumba-lumba berkenaan telah ditanam di lokasi yang bersesuaian sebagai langkah pelupusan yang selamat dan teratur.
Jurucakap Jabatan Perikanan Pulau Pinang turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang kejadian kematian atau kedamparan mamalia marin di perairan negeri ini demi usaha pemuliharaan biodiversiti laut negara. – KOSMO! ONLINE