ALOR SETAR – Seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy ditemukan mati dipercayai akibat tersangkut pada pukat pari haram yang ditinggalkan nelayan secara sembunyi di perairan Kuala Kedah, dekat sini semalam.
Spesies marin terancam itu ditemukan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah ketika menjalankan rondaan rutin kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah pada pukul 11 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, penemuan menyedihkan itu berlaku susulan rampasan pukat pari dianggarkan bernilai RM2,000 yang dipercayai digunakan secara haram oleh pihak tertentu.
“Pukat pari ini antara alat tangkapan yang diwartakan sebagai haram di bawah Akta Perikanan 1985 kerana sifatnya yang tidak selektif.
“Ia bukan sahaja memerangkap pari dan anak-anak ikan tetapi juga mengancam spesies marin yang dilindungi seperti ikan lumba-lumba Irrawaddy,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris) yang turut dikenali sebagai Empesut merupakan spesies unik yang semakin pupus di Asia Tenggara termasuk di negara ini.
“Kehilangan seekor haiwan itu sahaja memberi impak besar kepada ekosistem kerana jumlah populasi semasa yang amat kecil dan sukar dikesan,” ujarnya.
Noor Azreyanti turut memaklumkan bahawa rampasan terbaharu itu menjadikan enam siri rampasan pukat pari berjaya dilaksanakan oleh Zon Maritim Kuala Kedah sepanjang tahun ini.
“Ini membuktikan usaha penguatkuasaan semakin giat bagi mengekang penggunaan alat tangkapan haram yang boleh merosakkan habitat laut,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan pukat pari bukan sahaja menjejaskan populasi ikan pari yang bertindak sebagai pemangsa dasar laut, malah turut mengganggu keseimbangan keseluruhan ekosistem marin.
“Jika aktiviti ini berterusan tanpa kawalan, bukan sahaja pari akan pupus tetapi juga spesies marin lain yang bergantung kepada rantaian makanan ini juga akan terancam. Keadaan ini sangat membimbangkan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE