SHAH ALAM – Festival Buku Islami yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini mendapat sambutan memberansangkan dengan lebih 1,000 judul buku berbentuk keislaman terjual, ketika ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara buku yang dijual pada festival yang julung kali diadakan tersebut adalah buku Muhaddisat, buku tafsir Imam Jalaluddin, buku Al-Itub dan lain-lain.
Katanya, penganjur memperoleh 45 permohonan daripada penerbit buku namun hanya 30 sahaja diterima bagi menyertainya.
“Lihat kehadiran pengunjung Festival Buku Islami ini agak meriah. Saya anggarkan tidak kurang dari 1,000 pengunjung yang hadir ke festival ini setiap hari ini.
“Ini julung kali Festival Buku Islami dianjurkan sebagai salah satu program tambahan baru dalam Festival Turath Islami Selangor, ” katanya selepas merasmikan Festival Buku Islami 2025 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar.
Kata Amirudin, kerajaan negeri mahu menjadikan festival sebegini dalam menyeimbangkan kemajuan dan ilmu keagamaan kepada penduduknya.
Tambahnya, kehadiran tokoh besar seperi Dr. Muhammad Akram Nadwi dan Syeikh Majdi Makki akan menambah nilai festival berdasarkan kehebatan ilmu mereka mengenai agama Islam. – KOSMO! ONLINE