LONDON – Liverpool semakin serius untuk mengekalkan dominasi sebagai juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua berturut-turut menjelang musim baharu bermula 16 Ogos ini dengan menyasarkan ‘mesin gol’ Newcastle United, Alexander Isak.
The Reds sanggup memecahkan rekod perpindahan termahal EPL biarpun perlu membayar antara £125 juta (RM710.74 juta) hingga £150 juta (RM852.89 juta) memandangkan Newcastle tidak terdesak untuk melepaskan Isak.
Pembelian Isak bakal menyaksikan Liverpool mencipta rekod perpindahan termahal EPL dalam tempoh dua bulan berturut-turut selepas terdahulu membeli Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen dengan nilai keseluruhan mencecah £116 juta (RM659.56 juta) pada 20 Jun lalu.
Lebih menarik, Liverpool sedia memberikan tekanan kepada Newcastle dengan menjadikan penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike sebagai calon alternatif.
Setakat ini, The Reds dikatakan sudah mengadakan perbincangan terbuka dengan Frankfurt, sehari selepas kelab itu menolak bidaan Newcastle bernilai £70 juta (RM398.01 juta) buat Ekitike.
Frankfurt pula dilaporkan bersedia untuk kekal aktif di pasaran dan mahu mengadakan sesi tawar-menawar memandangkan Ekitike masih memiliki kontrak sehingga 2029.
Difahamkan, Liverpool mahukan Isak kerana merasakan ketajaman penyerang Sweden itu mampu membantu kelab berkenaan mengekalkan dominasi mereka selain menjadi pelan jangka panjang tanpa mengharapkan Mohamed Salah pada masa depan.
Sebagai rekod, Liverpool sudah membeli tiga pemain baharu seperti Wirtz, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong dalam jendela perpindahan ketika ini. – AGENSI