MUAR – Keluarga pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang ke Sungai Tui, Bukit Kepong pada Isnin lalu, masih menaruh harapan untuk menerima khabar gembira.
Sepupu mangsa, Norzilah Yunos, 40, berkata, seluruh ahli keluarga berdoa agar segala urusan pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat dipermudahkan.
“Harapan kami, kalau dia dijumpai, biarlah dalam keadaan masih hidup. Tapi andai kata dia sudah tiada, cukuplah sekadar jasadnya ditemui.
“Kami masih berharap ada khabar baik. Mungkin bukan kes lemas. Namun, apa pun keadaannya, kami hanya mahu kepastian dan kejelasan,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Tui, Bukit Kepong di sini.
Menurut Norzilah, dia menerima perkhabaran mengenai sepupunya pada Isnin lalu sebelum mengambil keputusan untuk datang ke Bukit Kepong dari Melaka.
“Sejak hari pertama kehilangan mangsa disedari, pelbagai usaha telah dijalankan termasuk ikhtiar bacaan yasin dan rakan-rakan Ija turun mencari di sekitar lokasi.
“Ija seorang yang baik, ramai yang kenal dan mengharapkan agar dia ditemui,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan Ija Nazaruddin yang juga pempengaruh permotoran hilang selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terjunam dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, Ija tidak ditemui dalam kenderaannya itu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang. – KOSMO! ONLINE