LONDON – Bintang muda Chelsea, Cole Palmer berpotensi menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak apabila Paris Saint-Germain dilapor bersedia membuat bidaan paling tinggi mengatasi rekod Neymar sebelum ini.
Palmer menjadi ‘duri dalam daging’ buat kelab Perancis itu pada aksi final Piala Dunia Kelab apabila meledak dua gol untuk membantu Chelsea meraih kejuaraan dengan menewaskan PSG 3-0 awal pagi Isnin lalu.
Impak yang diberikan Palmer pada perlawanan itu membolehkan dia menjulang trofi berkenaan selain turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan sekali gus menyebabkan PSG mula memasang impian mendapatkan khidmatnya.
PSG sebelum ini membuktikan mereka memiliki kemampuan kewangan yang cukup apabila berjaya melengkapkan perpindahan Neymar dari Barcelona pada 2017 dengan nilai sebanyak £200 juta (RM1.14 bilion).
Kali ini juara Ligue 1 itu mahu memecahkan rekod berkenaan menerusi tawaran yang dianggarkan bernilai £217 juta (RM1.24 bilion) untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 23 tahun itu.
Selepas dua tahun meninggalkan Manchester City untuk menyertai Chelsea, Palmer dilihat berjaya meningkatkan potensinya sebagai salah seorang bintang bola sepak dunia menyebabkan PSG bersedia membawanya ke Parc des Princess.
Kematangan yang dipamerkan di padang, kemampuan mengimbangi perlawanan serta visi dalam menghasilkan gerakan untuk jaringan menyebabkan PSG enggan melepaskan peluang membawa pemain terbaik sepertinya.
Bagaimanapun, Stamford Bridge dilaporkan enggan mempertimbangkan perpindahan tonggak utama mereka itu walau apa sahaja tawaran yang diterima. – AGENSI