MADRID – Gergasi La Liga, Real Madrid dilaporkan telah bersedia untuk melepaskan pemain sayap, Vinícius Jr. dengan tanda harga mengejutkan sebanyak €150 juta (RM744.02 juta), sekali gus menandakan perubahan besar dalam hala tuju kelab itu.
Pemain berusia 24 tahun itu yang sebelum ini dianggap tidak boleh disentuh dalam skuad utama, semakin terpinggir susulan prestasi tidak menentu sepanjang musim ini, termasuk di Piala Dunia Kelab baru-baru ini.
Difahamkan, kegagalan membentuk gandingan mantap bersama bintang baharu, Kylian Mbappé turut menyumbang kepada keputusan drastik yang dibuat oleh pengurusan tertinggi kelab diketuai presidennya, Florentino Pérez.
Real kini membuka pintu untuk sebarang tawaran rasmi, termasuk dari kelab-kelab Liga Pro Arab Saudi yang sebelum ini pernah menunjukkan minat terhadap Vinícius.
Jika ada kelab sanggup mengemukakan bidaan bernilai €150 juta (RM744.02 juta), Los Blancos tidak akan menghalang perpindahan tersebut.
Sementara itu, pengendali pasukan, Xabi Alonso dilaporkan sedang memberi kepercayaan penuh kepada kombinasi serangan baharu melibatkan Mbappé dan Gonzalo García, manakala Vinícius sekadar menjadi pelengkap skuad ketika sesi latihan.
Alonso yang mengamalkan pendekatan meritokrasi untuk pemain dipilih dalam kesebelasan utama menyebabkan Vinícius gagal mendapat tempat apabila dia dianggap tidak memenuhi jangkaan. – AGENSI