HULU TERENGGANU – Pembangunan solar terapung hibrid hidro (HHFS) dan hab hidrogen hijau di Tasik Kenyir di sini akan memperkukuh lagi pelan peralihan tenaga negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek raksasa melibatkan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) itu turut menyokong aspirasi tenaga bersih serantau.
“Pembangunan hab hidrogen hijau akan melibatkan pengeluaran hidrogen serta produk derivatifnya.
“TNB turut akan memperkukuh infrastruktur grid menerusi pembangunan HHFS,” katanya di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di sini hari ini.
Beliau menyaksikan majlis pertukaran dokumen projek HHFS dan hab hidrogen hijau antara TNB, Petronas dan Terengganu Inc.
Anwar berkata, pelaksanaan HHFS dan hab hidrogen hijau juga bakal mengubah landskap ekonomi negara khususnya Terengganu.
Beliau berkata, projek pembangunan di kawasan tasik buatan terbesar Asia Tenggara berkenaan berpotensi menarik lebih ramai pelabur ke negeri berkenaan.
“Pelaksanaan projek pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir ini dapat membuka ruang kepada anak-anak tempatan terutamanya di Kuala Berang di sini untuk menerima pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) daripada Petronas dan TNB.
“Eloklah dirancang agar anak-anak Kuala Berang dan Terengganu ini diberi kuota latihan khusus (TVET). Saya harap ia dapat disegerakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE